Text Widget

Perhatian:
Produk ini bukan bertujuan untuk mendiagnos, merawat, menyembuh atau mencegah sebarang penyakit. Semua paparan adalah berdasarkan pengalaman penulis sendiri dan pengguna shaklee.

14 Sept 2013

SUSU KAMBING UNTUK BAYI

Sedutan dari FB Dr Zubaidi

“ Hi doc..antra susu kambing, susu lembu dan susu soya yg mana satu paling baik utk bayi 1 thun ke atas..sy pernah terbaca artikel yg menyatakan susu kambing lbh baik drp susu lembu dan susu soya tidak sesuai untuk di berikan kepada bayi..sejauh mana kebenaran tesebut? and i know of course mom’s milk is the best. Antara susu formula lembu, susu kambing dan susu berasaskan soya; yang mana paling sesuai untuk bayi lingkungan usia 1 tahun?"

Sepertimana yang puan sedia maklum, susu ibu adalah yang terbaik di dunia ini, tiada tandingan dan hanya ada beberapa keadaan sahaja susu ibu tidak dibenarkan dan tidak digalakkan seperti ibu dengan jangkitan virus HIV atau bayi menghidapi masalah metabolik tertentu.

Justeru itu, persoalan sekarang adalah susu apakah yang sesuai bagi menggantikan susu ibu itu?

Bagi bayi lingkungan satu tahun yang tidak menyusu ibu sepenuhnya.

Artikel ini ditulis dengan memberi fokus pada bayi yang sihat, tidak menghidapi masalah metabolik tertentu dan bukan bayi pra-matang atau bayi malnutrisi dengan berat tidak optimum untuk usia (bayi-bayi ini memerlukan pantauan kesihatan dari doktor dan mungkin memerlukan susu khas untuk mereka).

Ada pelbagai jenis susu dicipta khusus untuk menggantikan susu ibu, seperti susu segar lembu (whole cow’s milk), susu formula lembu diperkaya zat besi (iron fortified infant formula), susu berasaskan soya (soy based formula) dan susu kambing.

Susu formula lembu diperkaya zat besi (iron fortified infant formula) adalah jawapannya bagi menggantikan susu ibu bagi bayi berusia satu tahun kebawah yang tidak menyusu ibu sepenuhnya!

American Academy of Paediatric (AAP) mengesyorkan susu formula lembu diperkaya zat besi (iron fortified infant formula) sebagai susu gantian bagi bayi baru lahir hingga berusia 12 bulan. Ini kerana susu jenis ini yang diperkaya zat besi boleh mengelakkan masalah kekurangan zat besi (iron deficiency) yang boleh menyebabkan masalah kekurangan darah (anemia), masalah kognitif dan perkembangan bayi. Kebanyakkan susu formula di pasaran sekarang sudah diperkaya dengan zat besi sejajar dengan tuntutan dan pengesyoran ini.

(Fakta tentang susu: Kandungan nutrisi setiap jenis susu boleh didapati di laman sesawang USDA National Nutrient Database)

Bagaimana pula dengan jenis susu dan minuman lain-lain:
1.Susu berasaskan soya (soy based formula)

Secara ilmiahnya, susu ini sebenarnya dicipta khusus untuk bayi yang alergi atau tidak hadam susu formula lembu. Susu ini mengandungi protein soya sebagai sumber protein utama, minyak sayuran sebagai sumber lemak, ditambah unsur karbohidrat, vitamin dan mineral lain. Kebiasaanya susu soya ini turut diperkaya zat besi. Menurut AAP, susu ini selamat dan efektif menggantikan susu lembu formula tetapi tidak mengatasi susu lembu formula dari kandungan zat.

Susu soya mungkin sesuai bagi bayi yang
Mengalami masalah galaktosemia (masalah metabolik yang jarang berlaku) atau kekurangan enzim pencernaan tertentu (lactase deficiency)
Ibubapa atau keluarga vegetarian/vegan
Bayi mengalami alergi susu lembu yang disahkan oleh doktor (IgE mediated cow’s milk protein allergy)

Menurut kajian saintifik, tiada bukti sahih yang mengesahkan susu soya perlu digunakan untuk keadaan berikut (justeru penggunaannya bagi masalah berikut masih kontroversi!):
Masalah cirit akut akibat jangkitan kuman usus (Acute Gastroenteritis) tanpa bukti kukuh menyebabkan ketidakhadaman laktosa (lactose intolerance)
Masalah kembung (colic)
Sebagai langkah pencegahan mengelakkan alergi susu lembu
Dan dari pengalaman saya, ada bayi yang alergi pada susu formula lembu turut mengalami masalah alergi yang sama dengan susu soya!

2.Susu kambing

Menurut AAP, susu kambing tidak disyorkan untuk bayi lingkungan umur 1 tahun. Ini kerana unsur nutrisi dalam susu kambing tidak menepati keperluan bayi. Susu kambing kekurangan zat besi, folate, vitamin C/D/B, thiamin, niacin dan pelbagai zat nutrisi lain. Susu kambing turut dikhuatiri akan “membebankan” buah pinggang bayi kerana kandungan nutrisi tertentu yang tidak sesuai (renal solute load). Susu kambing juga dipercayai boleh mengakibatkan keadaan berasid (metabolic acidosis) yang kandangkala boleh membahayakan bagi bayi berusia satu bulan.

3.Susu segar lembu (whole cow’s milk)(bukan susu formula lembu)
Susu ini turut tidak disyorkan oleh AAP kerana kandungan nutrisi yang tidak sesuai, “bebanan” pada buah pinggang (renal solute load) dan alergi/alahan susu.

4.Minuman lain
Minuman manis (teh, soda, minuman berkabonat dan sebagainya) juga didapati tidak sesuai dan boleh membawa kepada kerosakan gigi dan masalah obesiti. Minuman ini juga mengandungi nutrisi yang tidak sesuai untuk bayi lingkungan satu tahun.

5.Susu berasaskan beras, kekacang, susu pekat manis, susu skim (skim cow’s milk) dan susu rendah lemak (low fat) turut didapati tidak sesuai untuk bayi berusia bawah satu tahun kerana kandungan nutrisi yang tidak sesuai.

6.Susu khusus/khas seperti susu kurang allergi (hypoallergenic infant formula), susu kurang laktosa (lactose-free formula) dan susu khas untuk masalah metabolik hanya digunakan atas keadaan tertentu dan dibawah pengawasan dan nasihat pakar.

Dari perspektif Islam;
Saya bukan orang yang sesuai untuk membicarakan isu ini kerana cetek ilmu agama.Tetapi bagi menghormati Islam dan sensitiviti agama, perlu untuk saya terangkan bahawa “susu kambing” kekal sebagai sebahagian dari makanan “sunnah” Rasulullah SAW. Tidak dinafikan susu kambing mempunyai beberapa kelebihan seperti mudah dihadam, kurang alergi dan beberapa kebaikkan lain; tetapi kajian terkini menunjukkan ianya tidak sesuai untuk bayi hingga umur lingkungan setahun(mungkin lebih sesuai untuk orang dewasa berbanding kanak-kanak). Jika kita memperhalusi sirah sejarah baginda Rasulullah SAW,baginda turut disusu ibu oleh ibu susuan sehingga berusia 2 tahun, lantas menunjukkan kepentingan penyusuan ibu dan segala kebaikkan dari penyusuan ibu (mengatasi segala jenis susu dan formula di dunia).

Kesimpulannya, Susu ibu adalah susu terbaik untuk bayi anda dan penyusuan ibu terbaik sepanjang zaman. Namun begitu, jika tidak dapat meyusukan bayi sepenuhnya dengan susu ibu, maka susu formula lembu yang diperkaya dengan zat besi

dibenarkan/disyorkan menggantikan susu ibu. Susu berasaskan soya hanya sesuai bagi keadaan tertentu dan perlu pada nasihat pakar. Susu kambing hingga tahap ini tidak disyorkan untuk bayi berusia bawah satu tahun.

Namun begitu, kajian dari aspek penyusuan bayi ini sentiasa berkembang dan pengetahuan tentang penyusuan bayi perlu ditingkatkan dari masa ke semasa.

Diharap saya menjawab segala persoalan puan! Yang buruk datang dari saya, dan yang baik dari Allah! Wallahualam!
(Saya menghargai komen anda, diskusi lanjut dan perbincangan ilmiah tentang isu penyusuan ini)


( Dr Rashdan Zaki bin Mohamed )

http://drzubaidi.com/blog

1 comment:

Unknown said...

Assalam. Anda ingin mendptkan susu kambing? Susu kambing Lennoza buatan Malaysia dan di formulasikan dgn 7 makanan
sunnah oleh pakar biotek. Dan dimiliki 100%
bumiputera muslim. Sesuai utk kanak2 6 bln ke ats, dewasa, ibu mengandung, ibu menyusu, dijadikn minuman kesihatan seisi keluarga. Susu kmbing susu kedua trbaik slps susu ibu. Sgt sihat dan berkhasiat, tiada bhn pengawet, kesan sampingan, dan yg psti mknn kegemaran Nabi kita. InsyaAllah dgn niat yg baik mngambil mknn sunnah ini akn ditunaikn hajatnya. Sebarang prtanyaan/ berminat boleh SMS/ WHATSAPP 0183793656.

© Copyright 2014 Reserved to Supplement For Better Life l Design by DayangDeno